Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada tiga pelajar Orang Asli dari SK Pengkalan Tereh, Kluang, Johor yang meraih pingat emas di Olimpiad Robot Antarabangsa ke-27 (IRO 2025) di Gold Coast, Australia.
Menerusi kenyataan di laman rasmi Facebooknya. Ahmad Zahid berkata, kemenangan mereka dalam Kategori Idea Kreatif (Tingkatan Rendah) melalui ciptaan robot ‘rover’ membuktikan anak-anak Malaysia dari desa memiliki bakat untuk bersaing di pentas antarabangsa
“Satu pencapaian yang membanggakan dan wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk anak-anak muda negara terus melakar lebih banyak kecemerlangan pada masa hadapan. Insya-Allah,” katanya.
Dalam kejohanan bertaraf antarabangsa itu, robot ‘rover’ yang direka untuk mengkaji permukaan planet Marikh merangkul tempat pertama bagi Kategori Idea Kreatif, mengalahkan peserta daripada 15 negara lain.
Selain pingat emas, pasukan Malaysia turut membawa pulang satu pingat gangsa bagi Kategori Kreatif Teknikal Junior.
Kemenangan ini sekali lagi menonjolkan potensi besar pelajar Orang Asli dalam bidang STEM di peringkat antarabangsa.
Baca juga:








