PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyambut baik langkah Universal Music Malaysia menurunkan muzik video (MV) kumpulan Dolla daripada semua platform rasmi mereka, sambil menyifatkannya sebagai tindakan berhemah dan penuh tanggungjawab.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Ahad, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak syarikat rakaman atas kepekaan terhadap suara masyarakat dan nilai yang dipelihara bersama.
“Saya mengambil maklum dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Universal Music Malaysia atas langkah berhemah dan penuh rasa tanggungjawab menurunkan semula muzik video (MV) Dolla daripada semua platform rasmi mereka.
“Tindakan ini mencerminkan keikhlasan dan kepekaan hati pihak industri terhadap suara masyarakat serta nilai yang kita pelihara bersama,” katanya.
Beliau menekankan bahawa semua pihak, sama ada penggiat seni mahupun masyarakat umum memikul amanah untuk membina ekosistem seni yang bukan sahaja subur dengan kreativiti tetapi juga dipayungi adab, kesantunan dan rasa hormat.
“Kita semua, sama ada penggiat seni mahupun masyarakat umum, sedang memikul amanah untuk membina sebuah ekosistem yang bukan sahaja subur dengan kreativiti tetapi juga dipayungi adab, kesantunan dan rasa hormat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Transformasi Al-Falah yang mengangkat keseimbangan antara jiwa seni dan nilai murni,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa kreativiti adalah nadi dunia seni, namun keindahannya akan lebih bersinar apabila disulam dengan kelembutan budi dan sensitiviti terhadap perasaan masyarakat.
“Dalam dunia seni, kreativiti adalah denyut nafkahnya.
“Ia tidak salah, bahkan sangat indah. Namun keindahannya akan lebih bersinar apabila disulam dengan kelembutan budi, nilai ketimuran dan sensitiviti kepada perasaan masyarakat.
“Di situlah seni bukan sekadar hiburan tetapi menjadi wahana yang menyatukan hati dan memuliakan budaya kita,” katanya.
Dengan penuh ketulusan, beliau mengucapkan terima kasih kepada Universal Music Malaysia atas keterbukaan dan kerjasama yang ditunjukkan serta berharap agar langkah ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga industri hiburan.
“Dengan penuh ketulusan, saya mengucapkan terima kasih kepada Universal Music Malaysia atas kerjasama dan keterbukaan mereka.
“Semoga langkah ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga industri hiburan untuk terus berkarya dengan hati yang lebih halus, penuh rasa tanggungjawab dan kasih terhadap masyarakat,” ujarnya.








