PETALING JAYA: Pasukan siasatan khas menemui sebuah mesin pengorek yang tertanam di kawah lokasi kejadian tanah runtuh, baru-baru ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan hari ini berkata, penemuan tersebut diperoleh melalui penggunaan teknologi canggih ‘ground penetrating radar’ (GPR) yang mengesahkan dapatan penyiasat hanya beberapa jam selepas insiden berlaku.
“Penemuan itu adalah selaras dengan maklumat awal yang diterima beberapa jam selepas kejadian melalui taklimat oleh agensi penyelamat,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk memainkan peranan dengan menyalurkan bukti sahih seperti gambar atau video kepada pihak berkuasa, langkah yang telah membantu penyiasat mengenal pasti saksi-saksi penting di lokasi kejadian.
“Tiada siapa akan dikecualikan. Setiap individu yang terlibat akan disiasat secara menyeluruh,” tegas beliau, sambil memberikan kepercayaan penuh kepada pasukan penyiasat yang dipimpin oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan untuk menjalankan tugas mereka secara adil dan telus.