Mesir Beri Jaminan Mudah Bantuan Malaysia Ke Gaza Mulai April

PETALING JAYA: Malaysia menerima jaminan penuh daripada Mesir untuk memudahkan penyaluran bantuan kemanusiaan segera kepada lebih 100,000 penduduk Gaza yang amat memerlukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad, memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi bagi memastikan kelancaran penghantaran 374 tan bantuan kemanusiaan Malaysia melalui pintu sempadan Rafah bermula April ini.

“Alhamdulillah, Presiden El-Sisi memberikan jaminan dan komitmen jelas untuk memastikan akses ini dipermudah, sekali gus membolehkan bantuan segera disalurkan kepada lebih 100,000 penduduk Gaza yang amat memerlukan,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia tidak akan tunduk kepada sebarang halangan khususnya daripada rejim Zionis Israel yang terus merencatkan usaha kemanusiaan ini.

Beliau turut menekankan bahawa di saat dunia berdepan ketidakpedulian dan hipokrasi, Malaysia akan terus berdiri sebagai suara berprinsip dan bermaruah, mempertahankan hak mereka yang tertindas.

“Mohon doa agar segala urusan dipermudah dan bantuan ini sampai dengan selamat kepada saudara kita di Gaza, Insya-Allah,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat