Mesyuarat khas tangani isu daftar masuk, keluar hotel – MOTAC

PETALING JAYA: Mesyuarat khas akan diadakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membincangkan isu waktu daftar masuk dan keluar tempat penginapan atau hotel yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, Datuk Seri Tiong King Sing memaklumkan bahawa isu berkenaan mendapat perhatian orang ramai serta pihak berkepentingan.

“Mesyuarat ini bertujuan membincangkan isu tersebut secara menyeluruh dan mencari penyelesaian yang adil tanpa membebankan pelanggan.

“Keutamaan saya adalah memastikan amalan dan polisi hotel selari dengan kepentingan pengguna, sambil menjamin kelangsungan industri perhotelan yang berdaya saing dan mampan,” katanya.

Dalam pada itu King Sing turut memberi jaminan bahawa MOTAC akan mengambil tindakan segera dan berkesan dalam menangani isu tersebut.

Sementara itu, beliau yang kini mewakili negara di persidangan United Nations World Tourism Organization (UNWTO) turut menyatakan komitmen untuk menghadiri mesyuarat tersebut sebaik pulang ke Malaysia.

“Pandangan serta cadangan daripada semua pihak berkepentingan akan dipertimbangkan bagi memastikan industri perhotelan di Malaysia kekal kompetitif dan mesra pelanggan,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat