PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis SDG Negara Tahun 2024, di mana beberapa perkara penting telah diberi penelitian dan dipersetujui termasuk kertas cadangan Pelan Strategik Environmental, Social and Governance (ESG) Kebangsaan.
Pelan itu dirangka untuk membawa entiti perniagaan Malaysia secara berfasa ke arah pematuhan dan pelaporan ESG, sekali gus mewujudkan kelebihan kompetitif dan pembangunan mampan negara.
Anwar menekankan keperluan memastikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tidak dibebankan dengan kos tinggi dalam usaha mematuhi garis panduan ESG.
“Disaran bantuan latihan penerapan ESG turut dilaksanakan oleh syarikat-syarikat tersenarai awam, multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mesyuarat turut dimaklumkan bahawa Malaysia mencatatkan kemajuan memberangsangkan dengan unjuran pencapaian 43 peratus sasaran SDG menjelang 2030, mengatasi purata unjuran pencapaian global pada 17 peratus.
“Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh dengan sasaran indikator SDG negara yang seiring dengan sasaran-sasaran Ekonomi MADANI,” katanya.
Baca lagi:








