BERLIN: Pelakon Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, sekali lagi mengangkat nama negara di pentas dunia apabila menerima Honorary Golden Bear, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Festival Filem Antarabangsa Berlinale ke‑76, salah satu penghormatan paling berprestij dalam industri perfileman global.
Anugerah bersejarah itu disampaikan pada majlis gala pembukaan festival di Berlinale Palast, Berlin, Jerman, pada Khamis.
Dalam ucapan penuh emosi, Michelle berkata, pengiktirafan tersebut bukanlah noktah perjalanan seninya, sebaliknya peluang untuk merenung pencapaian sebelum melangkah lebih jauh.
“Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat merupakan frasa besar.
“Ia kedengaran seperti satu kesimpulan tetapi saya lebih suka menganggapnya sebagai satu jeda, satu masa untuk bernafas, melihat ke belakang dan terus melangkah ke hadapan,” katanya.
Mengimbas perjalanan peribadi, Michelle berkata, menjadi seorang wanita Asia dari Malaysia yang menempuh dunia penceritaan adalah pengalaman luar biasa.
“Saya tidak pernah membayangkan seorang wanita dari Malaysia yang mencintai disiplin, tarian akan mengembara sejauh ini melalui dunia penceritaan,” katanya.
Festival Berlinale turut membawa nilai sentimental buat seniwati berusia 63 tahun itu kerana ia antara yang pertama memberi pengiktirafan terhadap kerjayanya termasuk menjemput beliau sebagai juri pada tahun 1999.
“Berlin mengalu-alukan saya ketika saya masih mencari tempat saya dalam dunia seni,” katanya.
Michelle menyifatkan festival itu sebagai pentas yang meraikan suara dari sudut yang mungkin terpinggir.
Beliau mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama menerima Honorary Golden Bear, sebaris dengan penerima terdahulu seperti Martin Scorsese, Meryl Streep, Steven Spielberg dan Tilda Swinton.
Dalam ucapan itu, beliau turut mengenang mendiang ayahnya.
“Ayah tidak lagi ada untuk melihat momen ini. Tetapi saya membawa semangatnya disiplin, ketegasan dan kepercayaannya bahawa jika sesuatu itu berbaloi dilakukan, ia harus dilakukan dengan penuh usaha,” katanya lagi.
Festival Berlinale 2026 berlangsung sehingga 22 Februari, menampilkan karya dari seluruh dunia termasuk filem pembukaan No Good Men.








