MIMOS, G7A kerjasama bina Keupayaan Integrasi Sistem Tempatan dalam ekosistem ruang ‘aerospace’ Malaysia

MIMOS Berhad dan G7 Aerospace Sdn Bhd (G7A) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk membina Keupayaan Integrasi Sistem Tempatan dalam ekosistem ‘aerospace‘ (ruang aeroangkasa) Malaysia pada Rabu di acara Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.

Menurut Pemangku Presiden MIMOS, Dr Saat Shukri Embong, kerjasama strategik itu dapat menggariskan komitmen bersama selain memperkukuh keupayaan negara dalam teknologi ruang aeroangkasa, menggalakkan kemajuan teknologi dan memupuk aktiviti bernilai tinggi dalam sektor tersebut.

“Sebagai penyedia solusi teknologi negara, MIMOS sangat teruja untuk berkolaborasi dengan pihak berkepentingan industri.

“Ia untuk meningkatkan industri ruang aeroangkasa Malaysia daripada perkhidmatan hiliran ke huluan, selari dengan New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 dan Malaysia Aerospace Industry Blueprint 2030 yang dibangunkan oleh MITI dan MIGHT,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, kerjasama yang terjalin memberikan MIMOS peluang unik untuk memacu kemajuan signifikan dalam industri ruang aeroangkasa Malaysia dengan membolehkan aktiviti Bukti Konsep melalui program Pusat Inovasi Teknologi Industri (ITIC).

“Inisiatif ini memungkinkan MIMOS untuk menyokong pemain industri dalam menguji dan menyempurnakan teknologi mereka sebelum dikomersialkan, secara efektif mempercepat inovasi dan memendekkan masa untuk membawa produk baru ke pasaran,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat