Minyak Cap Buruh Kesal Tulisan Jawi Disunting Bahasa Kasar

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Minyak masak jenama Cap Buruh mengesahkan tulisan jawi pada produknya telah disunting untuk memaparkan bahasa yang kasar dan menyinggung.

Menerusi satu kenyataan, jenama itu kesal dengan tindakan penyebaran maklumat palsu yang berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi minyak masak Cap Buruh di media sosial.

Justeru, pihaknya telah melampirkan perbandingan antara pelabelan tulisan jawi yang betul dan asli pada produk dengan pelabelan yang telah diubah suai secara palsu.

“Hasil siasatan kami mengesahkan bahawa imej-imeh palsu ini pertama kali muncul pada tahun 2019 dan telah disebarkan semula baru-baru ini.

“Kami berasa kecewa dengan tindakan pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati budaya rakyat Malaysia.

“Kami menyeru semua pengguna media sosial agar menolak maklumat palsu ini. Pemalsuan label produk dan penyebaran maklumat berniat jahat adalah kesalahan di sisi undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, minyak masak Cap Buruh turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai yang mempertahankan jenama tersebut dengan berkongsi maklumat yang tepat.

“Kami menghargai kepercayaan dan sokongan anda terhadap jenama Cap Buruh dan kekal komited untuk mengekalkan piawaian kualiti tertinggi dalam produk kami,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat