AMERIKA SYARIKAT: Harga minyak mentah melonjak melebihi paras $100 setong apabila pasaran tenaga dibuka semula di Asia pada Isnin, susulan rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berakhir tanpa sebarang perjanjian baharu serta kenyataan Presiden Donald Trump yang mahu menyekat pelabuhan Iran.
Memetik laporan BBC News, penanda aras global Brent crude meningkat 8.5 peratus kepada $102.37 (£77.15), manakala West Texas Intermediate (WTI) naik sembilan peratus kepada $105.34.
Kegagalan rundingan hujung minggu lalu menimbulkan kebimbangan bahawa krisis tenaga global akan semakin meruncing.
Harga minyak sebelum ini jatuh jauh di bawah paras $100 pada Rabu lalu selepas Washington dan Tehran bersetuju dengan gencatan senjata bersyarat selama dua minggu yang termasuk pembukaan semula Selat Hormuz, laluan perdagangan utama dunia.
Selat tersebut, yang menjadi laluan bagi satu perlima penghantaran tenaga dunia, kini menjadi titik panas dalam konflik Iran selepas Tehran bertindak balas terhadap serangan AS-Israel dengan mengancam untuk menyerang kapal yang cuba melaluinya.
Sejak konflik bermula pada 28 Februari, penghantaran minyak banyak terhenti, walaupun beberapa negara seperti India dan Malaysia berjaya merundingkan laluan selamat untuk kapal mereka.
Gangguan itu telah menyebabkan harga tenaga melonjak di seluruh dunia.
Pusat Pemerintahan Tentera AS (Centcom) kemudian mengumumkan bahawa sekatan terhadap trafik masuk dan keluar dari pelabuhan Iran akan bermula pada pukul 10:00 pagi ET (14:00 GMT) Isnin.
Ia akan dikuatkuasakan ‘secara adil terhadap kapal dari semua negara yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan dan kawasan pantai Iran’, menurut kenyataan di media sosial.
Centcom turut menegaskan bahawa mereka ‘tidak akan menghalang’ kapal di Selat Hormuz yang menuju ke atau dari pelabuhan bukan Iran.
Sementara itu, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, yang mengetuai rundingan di Pakistan, berkata negara itu ‘tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman’, menurut laporan media tempatan.
Pasukan Lautan Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) pula memberi amaran bahawa mana-mana kapal tentera yang menghampiri selat tersebut akan dianggap melanggar gencatan senjata antara Washington dan Tehran, dan akan ‘dihukum dengan tegas’.








