Mohamad Sabu Jalani Pemeriksaan Rutin Di IJN, Keadaan Stabil

PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu kini menjalani pemeriksaan dan menerima rawatan rutin di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dinasihatkan oleh pasukan perubatan untuk berehat berikutan simptom keletihan.

Dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin, Pejabat Menteri memaklumkan bahawa keadaan beliau adalah stabil, namun buat masa ini tidak dapat menerima kunjungan bagi memastikan beliau mendapat rehat secukupnya.

“Keadaan Datuk Seri Menteri (Mohamad Sabu) adalah stabil.

“Namun, buat masa ini beliau tidak dapat menerima tetamu bagi membolehkan beliau mendapat rehat secukupnya,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah mendoakan kesihatan Mohamad dan menunjukkan keprihatinan terhadap beliau.

“Pejabat Menteri ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas doa dan keprihatinan semua pihak terhadap kesihatan Mohamad,” tambah kenyataan itu lagi.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, merupakan figura politik yang disegani dengan gaya kepimpinan sederhana dan sentiasa dekat dengan rakyat.

Beliau memegang portfolio Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sejak Disember 2022 di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan dan sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan.

Anda Mungkin Berminat