PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengambil tindakan tegas terhadap seorang pemandu Grab yang disyaki melakukan gangguan seksual terhadap penumpang wanita di Johor Bahru.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu terbabit serta-merta.
“Tindakan ini bermakna pemandu tersebut tidak boleh berkhidmat di semua platform e-hailing,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, MOT melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memanggil semua pengendali e-hailing, termasuk Grab untuk membentangkan pelan penambahbaikan keselamatan penumpang.
“Kami bersedia menyokong pihak mangsa bagi memastikan tindakan polis diambil terhadap pelaku,” katanya.
Anthony Loke turut menekankan bahawa kementerian tidak akan bertoleransi terhadap sebarang tingkah laku yang menjejaskan keselamatan penumpang.
Insiden ini mencetuskan kebimbangan selepas baru-baru ini tular di media sosial mengenai seorang pemandu e-hailing dipercayai melakukan gangguan seksual terhadap penumpang wanita di dalam keretanya.







