KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang mempergiat usaha mempercepatkan pembukaan laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam dan kawasan sekitarnya sebagai langkah mitigasi untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.
Menterinya, Loke Siew Fook berkata usaha itu penting bagi menyediakan lebih banyak pilihan pengangkutan awam kepada orang ramai. Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran utama dalam menangani kesesakan ialah peningkatan berterusan jumlah kenderaan persendirian di jalan raya.
“Kementerian akan terus berusaha dalam beberapa bulan akan datang untuk mempercepatkan pembukaan laluan LRT3 sebagai salah satu langkah mitigasi bagi memberi alternatif kepada penumpang,” katanya pada sidang media selepas majlis pengagihan pek cenderahati kepada penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena sambutan Tahun Baharu Cina di KL Sentral.
Mengulas isu kesesakan yang sering berlaku khususnya pada musim perayaan, Loke menegaskan bahawa semua pihak perlu memahami realiti pertambahan kenderaan yang semakin meningkat setiap hari.

Menurut beliau, jualan kenderaan di Malaysia pada tahun lalu mencecah 820,000 unit, sekali gus menjadikan negara ini antara pasaran kenderaan terbesar di Asia Tenggara, mengatasi Indonesia dan Thailand.
“Langkah mitigasi sentiasa dilaksanakan terutama ketika musim perayaan, namun jumlah kenderaan terus bertambah setiap hari. Tahun lalu sahaja, sebanyak 820,000 kenderaan baharu dijual.
“Buat masa ini, kerajaan belum mempunyai dasar khusus untuk mengawal jumlah kenderaan. Jika kita bercakap mengenai dasar pelupusan kenderaan (end-of-life policy) dan sebagainya, ia pasti menimbulkan pelbagai reaksi serta aduan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun tiada dasar pengawalan dilaksanakan setakat ini, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius dalam perancangan jangka panjang.
Dalam perkembangan lain, sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan dengan penambahan tiga set baharu ETS3, KTMB kini menyediakan 16 perjalanan tambahan ETS, menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan ETS sepanjang tempoh perayaan meningkat kepada 58 perjalanan sehari.
Baca juga:








