MOTAC: Kenderaan Persiaran Wajib Sedia Pemandu Pelancong Berlesen

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menegaskan semua kenderaan pelancongan yang menjalankan perjalanan persiaran wajib menyediakan pemandu pelancong berlesen selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

Penegasan itu susulan tindakan penguatkuasaan baru-baru ini terhadap kenderaan pelancongan yang didapati beroperasi tanpa khidmat pemandu pelancong berlesen ketika melaksanakan jadual perjalanan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tugas pemandu kenderaan dan pemandu pelancong adalah berbeza dan tidak wajar digalas serentak oleh individu sama.

“Saya tidak menggalakkan pemandu memegang dua peranan serentak sebagai pemandu dan pemandu pelancong kerana ia boleh menjejaskan tumpuan ketika memandu serta aspek keselamatan pelancong,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau menegaskan aspek keselamatan pelancong serta pembahagian tugas secara profesional tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila negara merekodkan peningkatan kemalangan jalan raya melibatkan pelawat asing sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, MOTAC memaklumkan terdapat pengecualian tatacara (administrative exemption) yang diperuntukkan menerusi garis panduan 2009 dan masih berkuat kuasa.

Pengecualian itu terpakai secara automatik bagi perkhidmatan shuttle berbentuk pengangkutan dari satu lokasi ke satu lokasi (point-to-point) melibatkan tujuh orang pelancong atau kurang, tanpa sebarang aktiviti persiaran atau penerangan di lokasi tarikan.

Bagi kenderaan yang membawa tujuh orang ke atas untuk tujuan pengangkutan, pengusaha perlu mengemukakan permohonan pengecualian kepada Pesuruhjaya Pelancongan melalui Sistem Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan (TOURLIST).

Tiong berkata tindakan penguatkuasaan dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang dan tidak menyasarkan mana-mana pihak tertentu.

Beliau turut memberi amaran terhadap amalan ‘penyewaan’ lesen oleh segelintir pengusaha berlesen kepada pihak lain.

“Dalam isu keselamatan pelancong, seluruh industri harus memikul tanggungjawab. Jika didapati berlaku pelanggaran atau penyalahgunaan mekanisme pengecualian, tindakan tegas termasuk denda, pendakwaan atau penggantungan lesen boleh dikenakan,” katanya.

Dalam pada itu, MOTAC memaklumkan perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan berhubung penyelarasan sistem dwi-lesen antara MOTAC dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kini di peringkat akhir bagi memperjelas bidang kuasa serta mengelakkan kekeliruan pelaksanaan.

Menurut kementerian, langkah itu selaras komitmen memperkukuh ekosistem pelancongan negara yang selamat dan profesional, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat