RIYADH: Dunia Islam hari ini kehilangan seorang tokoh ulama tersohor apabila Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz bin Abdullah Al-Sheikh, dilaporkan meninggal dunia pada usia 82 tahun.
Pemergian beliau disahkan oleh Mahkamah Diraja Arab Saudi dalam satu kenyataan rasmi, yang turut memaklumkan bahawa jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Imam Turki bin Abdullah di Riyadh selepas solat Asar.
Sebagai penghormatan terakhir, solat jenazah ghaib turut diarahkan diadakan di Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan seluruh masjid di negara itu.
Dilahirkan di Mekah pada 30 November 1943, Sheikh Abdulaziz membesar sebagai anak yatim dan menghafal Al-Quran sejak kecil.
Beliau kehilangan penglihatan pada usia awal 20-an, namun tetap meneruskan perjuangan dalam bidang ilmu dan dakwah.
Sepanjang kerjayanya, beliau dikenali sebagai seorang pendakwah, ahli akademik dan penulis prolifik dalam bidang Syariah dengan sumbangan besar dalam koleksi fatwa dan doktrin Islam.
Beliau mula menyandang jawatan Mufti Besar Arab Saudi pada tahun 1999, menggantikan Sheikh Abdul Aziz bin Baz.
Sepanjang lebih dua dekad memegang jawatan tersebut, beliau menjadi suara utama dalam isu-isu keagamaan termasuk fatwa berkaitan ibadah, ekonomi Islam dan kehidupan masyarakat moden.
Dalam kenyataan rasmi kerajaan, pemergian beliau disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat umat Islam.
Pemergian Sheikh Abdulaziz bukan sahaja dirasai oleh rakyat Arab Saudi tetapi juga oleh jutaan umat Islam di seluruh dunia yang menjadikan fatwa dan pandangan beliau sebagai rujukan dalam kehidupan seharian.