Mufti Perlis Kecam Serangan Terhadap Polis, Tegas Prinsip Majoriti Dalam Isu Pusaka Islam

PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengecam tindakan mencederakan anggota polis dalam insiden di Kampung Sungai Baru baru-baru ini, menyifatkannya sebagai perbuatan yang amat menyedihkan dan tidak wajar.

“Saya mengecam perbuatan mencederakan anggota polis.

“Dia hanya menjalankan urusan tugas, tidak wajar diperlakukan sedemikian,” katanya.

Insiden tersebut berlaku ketika Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami kecederaan di kepala, dipercayai akibat balingan batu oleh individu tidak dikenali semasa operasi pemotongan bekalan elektrik di beberapa kediaman.

Dr Mohd Asri turut menyentuh isu pembahagian harta pusaka orang Islam dengan menekankan kepentingan prinsip persetujuan majoriti dalam menyelesaikan pertikaian.

“Kalau empat daripada lima adik-beradik setuju untuk bahagikan tanah pusaka, seorang yang enggan tidak boleh menghalang.

“Haknya masih terpelihara kerana dia boleh tuntut kemudian melalui Amanah Raya,” jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan ini selari dengan kaedah hukum Islam yang mengutamakan kemaslahatan umum dan mampu mengelakkan harta umat Islam terbengkalai sehingga nilainya tidak dapat dimanfaatkan.

Menurutnya, fatwa juga membenarkan penggunaan kuasa majoriti dalam urusan pusaka, asalkan ia dilaksanakan secara telus dan adil.

“Jika prinsip ini dapat dilaksanakan secara telus dan adil, banyak isu perebutan harta yang berlarutan bertahun-tahun dapat diselesaikan dengan lebih cepat,” tambah beliau.

Anda Mungkin Berminat