KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil menasihatkan agar umat Islam tidak menyalahgunakan amalan qunut nazilah dengan mendoakan kehancuran terhadap kepimpinan negara atau sesama muslim.
Memetik laporan RTM, beliau menegaskan bahawa walaupun wujud perbezaan pandangan dalam kalangan umat Islam, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menimbulkan permusuhan dan perpecahan melalui doa-doa yang bersifat melaknat.
“Qunut nazilah perlu mempunyai batasan yang jelas serta tertakluk kepada panduan daripada badan berautoriti.
“Penggunaannya seharusnya dihadkan kepada situasi yang melibatkan musuh-musuh Islam yang nyata,” katanya.
Menurutnya, tindakan menjadikan khilaf ijtihad atau perbezaan pandangan sebagai alasan untuk membaca qunut nazilah adalah tidak berlandaskan semangat ukhuwah Islamiah yang dituntut agama.
“Saya mengharapkan seluruh umat Islam dapat mengelakkan penyalahgunaan qunut nazilah.
“Terhadap sesama muslim, kita dituntut untuk saling mendoakan kebaikan, bukannya kehancuran serta mengamalkan sifat memaafkan,” tambah beliau.
Dr Ahmad Fauwaz turut mengingatkan agar prinsip husnuzon (bersangka baik) sentiasa diutamakan dalam berbeza pandangan bagi menjaga keharmonian umat dan menjauhi budaya tuduh-menuduh yang boleh meretakkan perpaduan.
Pada perhimpunan Sabtu lalu yang dianjurkan pihak pembangkang diakhiri dengan doa qunut nazilah oleh Ahli Parlimen Jasin(PAS), Zulkifli Ismail.