KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, memohon bersara awal daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata permohonan berkenaan dimaklumkan kepada beliau menerusi surat daripada peguam Tan Sri Muhammad Hafizuddeain, yang ketika ini sedang bercuti.
Menurutnya, permohonan itu membolehkan pihak berkuasa memulakan proses melantik calon baharu bagi jawatan Panglima Angkatan Tentera (PAT).
“Saya telah menerima surat daripada peguam Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, bekas Panglima Tentera Darat yang kini bercuti, berhubung hasrat beliau untuk bersara awal daripada perkhidmatan ATM berkuat kuasa 1 Januari lalu.
“Dengan permohonan bersara awal ini, ia membolehkan pihak berkuasa memulakan proses mencari pengganti beliau,” katanya kepada media selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan, di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Majlis Angkatan Tentera sebelum ini telah membuat keputusan untuk melantik Tan Sri Muhammad Hafizuddeain sebagai Panglima Angkatan Tentera, namun pelantikan berkenaan ditangguhkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa jawatan Panglima Angkatan Tentera kini secara rasmi kosong dan sedang dipangku oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain.
Baca juga:








