GUA MUSANG: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pagi ini di bawah Akta Hasutan.
Muhyiddin tiba di mahkamah pada jam 8.43 pagi, diiringi beberapa pemimpin tertinggi PN antaranya Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Penerangan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Bekas Perdana Menteri itu didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan mengenai proses pelantikan Perdana Menteri yang dibuatnya semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Muhyiddin akan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 selepas pihaknya menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC).
Sebelum ini, tular melalui media sosial ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Dalam ucapan itu, Muhyiddin didakwa telah sengaja dan sinis memperlekeh peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Susulan itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin itu.
Tengku Hassanal bertitah mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin kerana dengan sengaja menyentuh sentimen 3R.