Muhyiddin kena selesai krisis dalaman Bersatu atau undur diri – Penganalisis

PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa segera mengambil tindakan drastik bagi menyelesaikan kemelut dalaman partinya atau berundur diri daripada jawatan.

Menurut Penganalisis Politik dari Universiti Malaya, Dr Muhammad Tawfik Yaakob, Bersatu kini mengalami siri pertelagahan yang semakin memuncak dan bukan lagi melibatkan peringkat akar umbi.

Sebalik itu katanya, ia membabitkan kelompok besar dalam parti, khususnya blok yang diketuai mendedahkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali dan blok Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Dan kita lihat sebenarnya persaingan yang sengit ini melibatkan blok Azmin dengan Blok Hamzah.

“Maka, ini tidak boleh dibiarkan terlalu lama jadi sesuatu perlu dilakukan oleh Presiden,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Melihat keadaan itu katanya, Muhyiddn perlu melihat itu sebagai satu perkara yang serius dan jika dibiarkan ia terlalu lama, partinya bakal mengalami keadaan yang sukar menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) Sabah, Melaka, Johor dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.

Menurut Dr Tawfik, langkah segera yang boleh dilakukan adalah Muhyiddin perlu membentuk Mesyuarat Agung Khas atau ‘Emergency Grand Meeting’ bagi meredakan ketegangan dan membincangkan hala tuju parti.

“Presiden kena panggil EGM, bukan AGM. ‘Emergency General Meeting’ perlu diadakan untuk sama ada bincangkan haluan Bersatu dan merendahkan ketegangan, ataupun langkah lain iaitu mengundur diri dan beri peluang kepada mereka yang boleh mendamaikan parti,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan Muhyiddin bahawa membiarkan konflik berlarutan hanya akan membuka ruang lebih luas kepada persaingan kem dalam parti sehingga menggugat keseluruhan struktur kepimpinan.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa Datuk Seri Azmin Ali dan Tun Faisal Ismail Aziz menggugat beberapa ketua bahagian parti itu berkaitan isu Akuan Bersumpah (SD) Muhyiddin Yassin.

Beliau menyarankan agar Azmin Ali serta Tun Faisal segera mengambil langkah drastik membersihkan nama mereka.

“Maka Azmin dan Tun Faisal perlu bersihkan diri dan perlu menyatakan apa pendirian mereka bagi memastikan survival politik di dalam Bersatu itu dapat dikekalkan,” ujarnya.

“Dan kalau itu tidak dilakukan oleh Azmin dan Tun Faisal serta pasukannya, saya lihat mereka seolah-olah membenarkan apa yang diutarakan atau apa yang diberi kenyataan media Wan Saiful itu sendiri.

“Kalau tidak dilakukan pembersihan imej dengan segera maka Azmin akan berhadapan dengan laluan sukar serta terpaksa menanggung persepsi negatif,” ujarnya.

Ditanya mengenai samada Wan Saiful wajar dikenakan tindakan disiplin, Dr Tawfik menegaskan setiap parti mempunyai prosedur tatatertib yang jelas, namun beliau menzahirkan rasa hairan apabila proses itu seolah-olah ditangguhkan.

“Sebelum ini Wan Saiful wajar dipanggil oleh jawatankuasa tatatertib. Tapi berdasarkan kenyataan media semalam, usaha itu ditangguhkan.

“Kenapa? seolah-olah ada tangan ghaib yang bertindak di sebalik keputusan ini,” katanya.

Katanya lagi, dibimbangi keadaan itu akan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli malah mendorong kepada perpecahan yang lebih besar.

“Jika kemelut ini tidak ditangani segera, Bersatu berisiko hilang kepercayaan, bukan sahaja daripada ahli tetapi juga rakyat.

“Sudah semestinya ia akan memberi kesan besar menjelang PRN Sabah dan PRU akan datang,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat