Mural Wajah Anwar Jadi Simbol Inspirasi Anak Muda Di Program Rancakkan MADANI

PUTRAJAYA: Sebuah mural berskala besar yang memaparkan potret Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi tumpuan utama pengunjung Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di Dataran Putrajaya.

Mural yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar terpilih dari SMK Bandar Baru Sungai Long, Kajang dan SMK Putrajaya Presint 5 (1) itu menampilkan wajah Perdana Menteri lengkap berkot dan berkaca mata, berlatarbelakangkan Jalur Gemilang, corak batik tradisional serta lambang negara.

Ia satu gabungan visual yang mengangkat nilai patriotisme dan identiti Malaysia MADANI.

Di bawah bimbingan guru seni berpengalaman seperti Cikgu Fazli (SMK Jerantut, Pahang), Cikgu Ismadi (PPD Segamat, Johor) dan Cikgu Jamil (SMK Kubur Panjang, Kedah), pelajar-pelajar ini menzahirkan keupayaan luar biasa dalam teknik lukisan, pemilihan warna dan komposisi, menjadikan mural tersebut bukan sahaja menarik secara estetik, tetapi juga sarat dengan makna.

Lukisan mural itu bukan sahaja memperlihatkan kreativiti dan bakat seni pelajar, malah menjadi tarikan visual yang memeriahkan program, sambil menyuntik elemen pendidikan dan inspirasi seni kepada pengunjung.

Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku yang berlangsung dari 5 hingga 7 Disember ini menghimpunkan pelbagai aktiviti seni, budaya dan interaksi komuniti, menjadikannya wadah keterlibatan rakyat dengan nilai kebersamaan dan keterangkuman selaras gagasan Malaysia MADANI.

Anda Mungkin Berminat