Dilantik sebagai Pengerusi MPN PKR Sabah, ia adalah tanggungjawab, bukan keistimewaan – Mustapha Sakmud

Pengerusi Majlis Pimpinan (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menerima lantikan yang diterimanya sebagai tanggungjawab dan bukan keistimewaan.

Beliau berkata demikian selepas menerima lantikan jawatan tersebut oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad.

“Saya menerima lantikan yang diamanahkan Presiden PKR ini sebagai ‘taklif‘ (tanggungjawab) dan bukan ‘tashrif‘ (keistimewaan).

“Perubahan ini menzahirkan nilai parti yang sentiasa membudayakan amalan demokrasi yang segar, di samping menyantuni dan mengangkat ‘local wisdomI’ (kearifan tempatan),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Mustapha yang juga merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi menyatakan sudah tiba masanya untuk PKR Sabah fokus memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam kerangka gagasan Malaysia Madani yang selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.

“Saya menyeru pucuk pimpinan parti di seluruh Sabah untuk merapatkan saf perjuangan dan berpadu dibawah pimpinan Perdana Menteri bagi mengangkat martabat rakyat dan negara yang tercinta,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan komitmen PKR Sabah untuk menjamin kestabilam politik Sabah sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan oleh Ketua Menteri.

Terdahulu, Ketua Penerangan PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil memaklumkan pelantikan baharu MPN bagi penyusunan semula kepimpinan MPN yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

Selain Mustapha, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh turut dilantik menjadi Pengerusi MPN Pahang.

Di samping itu, Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh turut dilantik sebagai Pengerusi MPN Johor dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin dilantik sebagai Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan.

Roland Engan pula dilantik sebagai Pengerusi MPN Sarawak, Ahmad Nazri Mohd Yusof menjadi Pengerusi MPN Terengganu, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor sebagai Pengerusi MPN Kelantan.

Manakala, Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Aminudin Harun masing-masing kekal sebagai Pengerusi MPN Selangor serta Negeri Sembilan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat