Musuh sebenar kita rosakkan negara, bukan sesama ahli parti – Nurul Izzah

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Mencetuskan pergaduhan yang menyentuh isu perkauman merupakan tindakan lapuk dan tidak relevan lagi buat tahun 2025, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar.

Dalam nada tegas beliau berkata, sudah memasuki era moden tahun 2025 masih lagi terdapat pihak yang kuat memainkan sentimen perkauman dan bukannya perjuangkan isu dasar serta kebajikan rakyat.

“Yang mana, nak marah nak gaduh bab dasar no problem, tapi nak gaduh bab kaum sudah lapuk tolong lah ini tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Pertemuan Khas Anggota serta pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan di Andy’s Cafe, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Khamis malam.

Pada masa yang sama, Nurul Izzah menggesa seluruh anggota untuk menggerakkan seluruh akar umbi dan ahli-ahli untuk kekal bersama dalam menyakinkan dan mencuri hati rakyat dengan membawa agenda kepedulian tanpa permainan sentimen perkauman.

“Saya tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kita boleh cuba sedaya upaya menambat hati semua golongan wanita, lelaki, warga emas, belia dan seluruh rakyat.

Kita tidak boleh terus bertelagah sesama sendiri. Musuh sebenar kita adalah mereka yang merosakkan negara, bukan sesama ahli parti,” tambah beliau.

Untuk rekod, Nurul Izzah bersama Datuk Seri Rafizi Ramli sedang bertanding di kerusi yang sama iaitu jawatan Timbalan Presiden PKR buat sesi 2025-2028 di pemilihan pusat pada Kongres Nasional PKR yang bakal berlangsung pada 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, Johor.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat