CINTA sejati boleh lahir daripada perkara kecil, itu mesej tersirat drama vertical ‘My Ramadan Love Story’ yang mengajak penonton merenung makna kehidupan dalam bulan puasa ini.
Karya yang mengisahkan perjalanan cinta sederhana tetapi kaya dengan nilai kemanusiaan dan keikhlasan membawa penonton menyelami peristiwa kecil yang kadang-kadang kita sendiri terlupa menghargainya.
Pengarah terkenal, Osman Ali berkata idea menghasilkan drama tersebut tercetus daripada pemerhatian terhadap detik-detik kecil masyarakat tempatan yang sering dipandang sepi sepanjang bulan Ramadan.
“Dalam drama, cerita berkembang menerusi detik-detik kecil yang penuh makna seperti pandangan mata, kesunyian dan perasaan yang dipendam.
“Ia mengetengahkan satu bentuk cinta yang jarang dipaparkan di layar, iaitu cinta yang berkembang dengan penuh batas, disiplin dan rasa hormat,” katanya yang berperanan sebagai penerbit kreatif, pada majlis tayangan perdana malam tadi.
Dibintangi pelakon utama Ezzanie, Muaz Zabir, Fara Nadiah, Wan Raja, Amanda Naza dan ramai lagi, keunikan drama ini terletak pada pendekatan penceritaan yang tenang dan realistik serta berbeza dengan drama Ramadan biasa yang penuh konflik besar atau emosi dramatik.
Diterbitkan P-Circle, drama vertical ini turut mendapat kerjasama Nuansa Sdn Bhd.
Penerbit Nuansa, Jaya Julian berkata drama ini diilhamkan daripada interaksi ringkas seperti di masjid atau momen berkongsi kurma ketika berbuka puasa, yang mampu menyentuh hati dan merapatkan hubungan insan.
”Ramadan adalah masa untuk kita memperlahankan langkah, merenung diri dan menjadi lebih peka terhadap hati serta niat,” katanya.
Julian berharap ia dapat menyentuh hati penonton kerana dekat dengan realiti kehidupan ramai orang.
Majlis tayangan perdana turut meraikan anak-anak yatim dari Darul Fakir.
Penghasilan karya sebegini dilihat sebagai usaha memperkasa kandungan original tempatan yang segar dan relevan dengan penonton masa kini.
Dengan format vertikal, ia sesuai untuk platform digital moden, memudahkan penonton menikmati cerita di mana sahaja.
Baca juga:








