Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Pangkalan Data Biodiversiti Malaysia (MyBIS) menerima anugerah emas (tempat pertama) sebagai Mekanisme Pusat Maklumat Kebangsaan (CHM) terbaik di Persidangan Parti-Parti ke-16 kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD COP16) di Cali, Colombia pada 31 Oktober lalu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan bahawa MyBIS perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha memulihara biodiversiti negara.
“MyBIS merupakan CHM yang dibangunkan sebagai pangkalan data biodiversiti kebangsaan sejak tahun 2016.
“Sehingga kini, MyBIS mengandungi lebih daripada 1.2 juta rekod data merangkumi profil spesies, rekod spesimen, toksinologi, kawasan perlindungan, direktori pakar, bahan rujukan dan penerbitan,” katanya.
Nik Nazmi turut menambah bahawa pembangunan CHM merupakan salah satu keperluan di bawah CBD sebagai platform untuk meningkatkan kerjasama global dan jaringan informasi mengenai biodiversiti.
“Menerusi anugerah CHM ini, ia merupakan pengiktirafan daripada CBD kepada negara-negara parti yang menunjukkan pencapaian yang paling signifikan dalam membangunkan CHM di peringkat nasional,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi telah menyampaikan kenyataan negara pada Sesi Plenari Mesyuarat Peringkat Menteri (High-Level Segment) yang berlangsung selama dua hari dari 29 hingga 30 Oktober 2024, di mana beliau menekankan komitmen Malaysia dalam menguruskan biodiversiti secara lestari.
Komitmen Malaysia juga terbukti apabila baru-baru ini negara diberi pengiktirafan sebagai antara 13 negara rakan yang ditambah secara rasmi ke dalam kesatuan ekonomi yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan (BRICS).