MyDigital ID Mampu Lawan Jenayah Scam Dalam Talian

KUALA LUMPUR: Penggunaan MyDigital ID secara menyeluruh di negara ini dilihat berpotensi besar menjadi mekanisme paling berkesan dalam mengekang jenayah penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pengurusan MyDigital ID bagi meneroka penggunaan platform identiti digital itu dalam urusan perbankan dan kewangan.

“Apabila MyDigital ID digunakan sepenuhnya, ia boleh menjadi salah satu mekanisme penting untuk menghalang kegiatan scam daripada berlaku.

“Kami percaya ciri keselamatan yang ada padanya sangat sukar ditiru oleh ‘scammer’ dan berupaya menjadi benteng berkesan dalam mencegah penipuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program #JanganKenaScam Bank Heroes Recognition Event 2026 di Kuala Lumpur.

Menurut Rusdi, pelaksanaan penuh MyDigital ID mampu mengurangkan impak dan risiko penipuan kerana dilengkapi ciri keselamatan yang sukar dipalsukan oleh sindiket jenayah siber.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, teknologi kecerdasan buatan (AI) kini sering dimanipulasi penjenayah untuk menjalankan pelbagai bentuk penipuan termasuk panggilan ‘deepfake’ dan serangan ‘phishing’.

“Pada masa sama, kami terus meningkatkan keupayaan keselamatan termasuk memanfaatkan AI untuk mengenal pasti dan mengekang scam sebelum pelanggan menjadi mangsa,” katanya.

Tambah beliau, institusi perbankan turut memperkukuh pertahanan digital dengan melabur dalam teknologi AI bagi mengesan serta membanteras aktiviti penipuan dengan lebih pantas dan berkesan.

Anda Mungkin Berminat