Oleh: Tyah Helmi
KOTA KINABALU: Semua pelajar Sabah yang terjejas akibah bah banjir di negeri itu bakal ditawarkan kelas tuisyen atas talian secara percuma oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan media di laman rasmi Instagram Nadi Malaysia pada Khamis yang berkata inisiatif itu sebagai talian hayat pendidikan buat pelajar Tingkatan 1 hingga 6 yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sabah.
“Pelajar boleh hadir ke pusat NADI berhampiran untuk menyertai kelas tuisyen atas talian percuma, melayari internet serta mengikuti Program Perkhidmatan Pintar NADI yang disediakan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, terdapat beberapa subjek yang ditawarkan termasuk Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik, Bahasa Inggeris, Sains serta Pengajian Am.
Difahamkan, program tersebut berlangsung bermula 18 September hingga 26 September.
Dalam pada itu, Nadi Malaysia turut mengingatkan kepada suruh pelajar serta keluarga di PPS untuk sentiasa menjaga keselamatan diri sepanjang tempoh banjir.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 42,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah menikmati manfaat tuisyen digital percuma yang ditawarkan oleh Nadi Malaysia sejak ia diperkenalkan September lepas.
Ketua Pejabat NADI Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Mohd Arif Adenan berkata, program di bawah inisiatif Digital Learning dan juga e-Kelas itu banyak membantu pelajar khususnya kumpulan B40 mendapatkan akses kelas tambahan percuma yang sebelum ini sukar diperoleh.
“Untuk melahirkan masyarakat yang inovatif, maka pendidikan adalah satu elemen yang kita tidak boleh kesampingkan daripada pihak sekolah sendiri hingga ke universiti dan sebagainya.
“Jadi, apa yang dilaksanakan NADI, kita telah adakan program tuisyen percuma,” ujarnya.
Baca juga:








