Nafi PN Terlibat, Takiyuddin Muncul Bersama Waytha Umum Saman PM

KUALA LUMPUR: Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan gabungan itu tidak terlibat dalam saman pemula difailkan bekas menteri, P Waytha Moorthy, yang mencabar keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen dan Perdana Menteri.

Namun, penafian itu menimbulkan tanda tanya apabila Takiyuddin dilihat hadir bersama Waytha Moorthy dalam sidang media di Parlimen pada Khamis, memegang dokumen saman berkenaan dan turut memberikan penjelasan mengenai alasan tindakan undang-undang itu.

“Di kalangan kami yang memahami perlu ambil tindakan.

“Kita pun bukan buat keputusan sendiri, kita minta daripada Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa untuk buat satu deklarasi,” kata beliau.

Kehadiran Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS sekali gus menimbulkan persoalan mengenai maksud “kita” yang disebut dalam kenyataannya, memandangkan beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Waytha Moorthy.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, dalam kenyataan berasingan mendakwa situasi itu menunjukkan tindakan saman tersebut bukan usaha individu semata-mata, sebaliknya sebahagian daripada percubaan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan melalui saluran mahkamah.

Beliau turut mengingatkan bahawa percubaan menukar kerajaan sebelum ini melalui sokongan Ahli Parlimen dan himpunan jalanan telah gagal, dan kini langkah diambil menerusi prosiding undang-undang.

Saman Waytha Moorthy itu difailkan selepas beliau dilihat semakin rapat dengan PN.

Anda Mungkin Berminat