KUALA LUMPUR: Susulan tragedi yang mengorbankan 16 nyawa di Gerik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan penggubalan undang-undang baharu bagi mendakwa syarikat atas kecuaian serius yang membawa maut.
Menurutnya, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula keberkesanan undang-undang sedia ada, termasuk kemungkinan meminda Kanun Keseksaan atau memperkenalkan akta baharu seperti UK Corporate Manslaughter and Corporate Homicide Act 2007.
“Akta di UK itu diwujudkan sebagai tindak balas terhadap beberapa kes kematian di tempat kerja di mana tiada pihak korporat dapat dipertanggungjawabkan secara jenayah khususnya dalam sektor pengangkutan yang melibatkan nyawa manusia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan, perundangan seperti itu dapat memastikan akauntabiliti lebih menyeluruh terhadap kecuaian dalam pengurusan keselamatan awam.
“Sudah sampai masanya kita menilai semula sama ada undang-undang sedia ada cukup berkesan atau perlu satu kerangka baharu bagi menangani tragedi yang berpunca daripada kecuaian serius,” katanya lagi.
Tragedi yang mencetuskan gesaan ini berlaku pada 9 Jun, apabila sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terbabas di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik.