PETALING JAYA: Laporan awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan (MOT) mendedahkan bahawa bas yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik pada 9 Jun lalu dipandu pada kelajuan 117 kilometer sejam (km/j), iaitu hampir dua kali ganda melebihi had laju yang ditetapkan iaitu 60km/j.
Tragedi itu meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan menjadi antara insiden paling menyayat hati dalam sejarah pengangkutan awam negara.
Menurut laporan MOT, analisis kinematik dan trajektori menunjukkan bas dipandu laju di laluan berbukit dan berselekoh tajam, melebihi kelajuan selamat yang disarankan.
“Analisis trajektori, rekonstruksi pergerakan sebelum kejadian dan penilaian terhadap kelajuan kritikal selekoh menunjukkan bas dipandu pada kelajuan yang melebihi had selamat untuk laluan berkenaan,” kata laporan itu.
Bas tersebut dilaporkan terbalik ke sisi kiri, sebelum bergesel dan menghentam penghadang jalan jenis W-beam.
Tambah MOT, impak kuat menyebabkan penghadang menembusi ruang kabin sehingga mengakibatkan kecederaan parah dan kematian dalam kalangan penumpang.
Pemandu bas mendakwa berlaku kegagalan sistem brek, namun siasatan awal belum dapat mengesahkan kerosakan teknikal.
“Walaupun pemandu mendakwa berlaku kegagalan sistem brek, siasatan setakat ini belum mengesahkan sebarang kerosakan teknikal.
“Pemeriksaan awal mengenal pasti tanda-tanda kemungkinan pemanasan melampau pada komponen brek, namun keadaan ini juga boleh berpunca daripada penggunaan brek yang berlebihan atau tidak sesuai,” menurut laporan yang sama.
Selain kelajuan, MOT turut mengenal pasti kelemahan reka bentuk jalan dan sistem keselamatan sebagai faktor penyumbang kepada tahap keparahan kemalangan.
“Reka bentuk fizikal jalan di lokasi kejadian tidak menyediakan perlindungan mencukupi bagi pemanduan selamat di laluan berbukit dan berselekoh tajam.
“Ketiadaan pembahagi fizikal, garisan tengah yang jelas serta papan tanda amaran yang mencukupi mengurangkan keupayaan pemandu untuk menjangka risiko dengan lebih awal,” kata laporan itu lagi.
MOT memaklumkan bahawa penilaian terperinci masih dijalankan dan laporan akhir akan dibentangkan kepada umum setelah selesai sepenuhnya.