Naim Daniel Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Amang Seksual Remaja

PUTRAJAYA: Penyanyi dan pelakon popular, Naim Daniel, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang gadis bawah umur berusia 17 tahun pada 19 Mei lalu.

Tertuduh yang berusia 28 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.

Menurut kertas pertuduhan, kejadian didakwa berlaku di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada pukul 8:56 malam, melibatkan mangsa bawah umur.

Naim dituduh melakukan perbuatan itu atas tujuan seksual.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin mengetuai pendakwaan, manakala Naim diwakili peguam bela Mohd Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.

Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM15,000 dengan syarat tambahan seperti penahanan pasport dan larangan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti yang dicadangkan.

Hakim turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 18 Ogos depan.

Terdahulu, negara dikejutkan dengan berita penahanan penyanyi berkenaan yang didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap remaja terbabit dalam lawatan pertama mangsa ke hotel.

Anda Mungkin Berminat