PETALING JAYA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dikekalkan bagi penggal seterusnya demi memastikan agenda reformasi institusi dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Seruan itu disampaikan Ketua Penerangan Wanita PKR, Datuk Ginie Lim, menerusi satu kenyataan media pada Selasa.
“Wanita PKR menegaskan bahawa kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar terus disokong bagi penggal seterusnya demi memastikan agenda reformasi institusi dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Usaha ini penting untuk membersihkan negara daripada kebejatan dan budaya rasuah, demi kebajikan rakyat serta masa depan Malaysia yang lebih cemerlang,” katanya.
Ginie berkata, Wanita PKR menyambut baik pelbagai inisiatif Kerajaan MADANI sepanjang tahun ini khususnya agenda reformasi institusi yang ditekankan Perdana Menteri dalam Perutusan Khas Tahun Baharu 2026.
Beliau turut menyifatkan cadangan Anwar berhubung had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal sebagai langkah berani dan bertanggungjawab.
“Tekad politik Perdana Menteri untuk menyegerakan pelaksanaan janji reformasi, setelah puluhan tahun berjuang di medan pembangkang, membuktikan kesungguhan beliau melakukan perubahan semasa memegang kuasa, bukan selepas kehilangan kuasa,” katanya.
Menurut Ginie, sepanjang tiga tahun kepimpinan Anwar, Kerajaan MADANI berjaya mengekalkan kestabilan politik, memacu pertumbuhan ekonomi serta menjaga kebajikan rakyat.
Beliau yakin pelaksanaan reformasi institusi yang berterusan akan memastikan rakyat terus menikmati manfaat daripada kekayaan negara yang semakin meningkat.
Sehubungan itu katanya, Wanita PKR menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Perdana Menteri untuk terus memimpin dan memperkukuhkan jentera kerajaan agar lebih mantap, berkesan dan berintegriti dalam melaksanakan dasar fiskal serta ekonomi di bawah Kerangka Ekonomi MADANI.








