Oleh: Haikal Tajuddin
GAZA: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan gencatan senjata tidak akan berlaku selagi Hamas enggan menyenaraikan nama-nama tebusan yang akan dibebaskan dalam fasa pertama ini.
Hal ini ekoran kumpulan Palestin itu mendakwa masalah teknikal yang dihadapi menjadi punca kelewatan itu dibuat.
“Tidak akan bermula sehingga Israel menerima senarai tebusan yang akan dibebaskan Hamas,” katanya, memetik Al Jazeera pada Ahad.
Dalam kenyataan sama, dilaporkan, gencatan senjata sepatutnya bermula pada pukul 08:30 waktu tempatan (06:30 GMT), tetapi tentera Israel berkata mereka terus melancarkan serangan.
Dipercayai, tentera Israel telah membuat serangan ke atas Gaza di bahagian utara dan tengah setelah waktu gencatan senjata.
Ia diikuti dengan serangan udara Israel yang disambung semula di selatan Khan Younis dan tengah Nusairat meskipun gencatan senjata Gaza sepatutnya bermula mengikut jadual perantara pada pukul 8:30 pagi waktu tempatan (06:30 GMT).
Dalam pada itu, bekas duta Israel ke Tel Aviv, Alon Pinkas, berkata beliau menjangkakan isu ini akan diselesaikan “dengan segera”.
Bekas diplomat itu, yang bercakap dari Tel Aviv, berkata gencatan senjata akan berlaku kerana kedua-dua pihak telah membuat janji kepada perantara dengan Qatar, Mesir, dan Amerika Syarikat (AS).
“Namun begitu, senarai tebusan Israel yang akan dibebaskan belum diumumkan oleh Hamas sangat meresahkan keluarga-keluarga dan semua pihak terlibat. Tetapi ini tidak akan menggagalkan perjanjian.
“Sepatutnya dapat diselesaikan semalam atau hari sebelumnya, tetapi apa boleh saya katakan, ini adalah sifat perjanjian sebegini,” katanya.
Baca juga: