Nga Kor Ming Seru Rakyat Malaysia Bersatu Hadapi Krisis Global

IPOH: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu padu, menolak sebarang bentuk perpecahan kaum serta mengekalkan keharmonian ketika dunia berdepan pelbagai krisis.

Kor Ming, yang juga Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan berkata, setiap rakyat perlu berdiri teguh sebagai satu negara dan bersama-sama mengatasi cabaran global.

Beliau turut menggesa rakyat menyokong usaha kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam meringankan beban rakyat, bertindak dengan penuh tanggungjawab dan mengelak daripada memperbesar sentimen negatif yang boleh menjejaskan perpaduan serta pembangunan ekonomi.

“Walaupun beberapa negara jiran telah mengisytiharkan darurat tenaga, rakyat Malaysia masih menikmati antara harga petrol terendah di dunia dan kerajaan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif proaktif untuk menguruskan situasi ini,” katanya.

Beliau berkata, perpaduan dalam kepelbagaian adalah aset terbesar negara.

“Kita tidak boleh membiarkan sebarang naratif tidak bertanggungjawab menghakis kepercayaan dan persefahaman yang dibina oleh generasi terdahulu,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Kor Ming turut memuji pencapaian Kerajaan Negeri Perak di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, yang berjaya mencatat belanjawan surplus selama empat tahun berturut-turut serta merekodkan pelaburan tertinggi sebanyak RM15.67 bilion.

Sektor pelancongan negeri juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan lebih 10.1 juta pelancong domestik dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Perak 2025.

Kor Ming menekankan bahawa setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk memelihara keharmonian dan kepelbagaian negara.

“Satu negara, satu wawasan, satu impian, kita akan atasi sebarang masalah.

“Tanpa tanggungjawab bersama, tiada kemakmuran dapat dinikmati bersama,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat