NUJM, Geramm Bidas Syarikat Media Gagal Bayar Gaji Wartawan

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) bersolidariti bersama sekumpulan wartawan menuntut tunggakan gaji dari pihak majikan The Malaysian Insight dan The Vibes.

Menerusi kenyataan bersama itu, kegagalan membayar gaji serta lain-lain caruman yang menjadi tanggungjawab majikan adalah merupakan kesalahan di bawah Akta Pekerja 1955.

Malah, katanya, isu tersebut jelas merupakan satu bentuk penindasan, serta mencerminkan kelemahan pengurusan di pihak majikan.

“A ‘free press’ is not free” atau dalam kata lain, ada harga yang perlu dibayar, termasuk
dalam bentuk gaji setimpal, untuk membangun lanskap media yang bebas.

“Adalah amat tidak wajar apabila wartawan sebagai pekerja media dilayan seperti peminta
sedekah, sedangkan setiap sen dituntut adalah merupakan hasil kerja keras yang
menyumbang kepada operasi syarikat,” katanya.

Justeru, NUJM dan Geramm menyeru pihak majikan agar segera melunaskan semua tunggakan seperti dijanjikan agar para pekerja media terlibat akan dapat menentukan hala tuju masa hadapan masing-masing.

Tambahnya, kelangsungan lanskap media Malaysia juga dipengaruhi oleh jaminan keadilan terhadap pekerja media, dan sebarang bentuk pengabaian tidak boleh dibiarkan.

NUJM dan GERAMM juga menyeru semua pihak agar memberikan sokongan terhadap
usaha menuntut hak-hak pekerja media.

“Buat semua pekerja media, menjadi pengamal media untuk menyampaikan berita, tetapi
jangan lupa cerita kita.

“Tidak dapat dinafikan pekerja media terlibat akan dihimpit tekanan kewangan dan emosi,
apabila berdepan dengan tanggungjawab untuk terus menyara diri dan keluarga,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat