Nukilan Penuh Kasih Raja Permaisuri Agong: Kenangan Manis Sempena Ulang Tahun Tunku Ismail

PETALING JAYA: Di sebalik perayaan Aidilfitri yang dikenang penuh kemeriahan, terselit satu momen yang lebih berharga bagi pasangan Diraja Johor iaitu kelahiran anak sulung baginda berdua, Tunku Ismail.

Dalam nukilan menyentuh hati sempena ulang tahun ke-41 Tunku Mahkota Johor, Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkongsi kenangan manis dan penuh emosi tentang putera sulungnya yang menyentuh hati rakyat yang turut merasai kehangatan kasih seorang ibu.

“Kelahiran anak sulung membawa pengalaman baharu yang penuh dengan kegembiraan bagi semua ibu bapa. Begitu juga saya dan suami,” titah Seri Paduka Baginda.

Nukilan dimulakan dengan mengimbas kembali detik bersejarah kelahiran Tunku Ismail pada 1 Syawal iaitu pada Hari Raya Aidilfitri.

Ketika itu, Baginda Tuanku sedang menziarahi keluarga apabila menerima berita gembira bahawa putera sulung telah selamat dilahirkan.

Detik itu menjadi lambang kegembiraan berganda buat seluruh keluarga Diraja.

“Sebagai ibu bapa, buat kali pertama kami menyambut kelahiran putera sulung dengan penuh kegembiraan serta bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Alhamdulillah,” titah Seri Paduka Baginda.

Raja Zarith Sofiah turut berkongsi sisi peribadi Tunku Ismail semasa membesar daripada kenangan pertama ke tadika sehingga minatnya terhadap permainan FIFA di PlayStation, yang mencerminkan benih awal minat dalam dunia pengurusan bola sepak.

“Saya akan bertanya kepadanya, ‘Ini game apa? Apa yang Teak (nama timangan Tunku Mahkota) perlu buat?’ dan dia akan menjawab, ‘Teak mesti pilih pengurus bola sepak dan Teak perlu pilih pemain yang sesuai untuk pasukan bola sepak Teak.’

“Saya tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti dia akan merealisasikan permainan itu dalam kehidupan sebenar!” titah Seri Paduka Baginda.

Kenangan semasa Tunku Ismail menjalani latihan sebagai kadet dan pegawai tentera di India turut dikongsi dengan penuh rasa rindu dan bangga yang memperlihatkan kekuatan dan ketabahan seorang ibu yang menyaksikan anaknya berdikari jauh dari tanah air.

“Tahun-tahun yang dilaluinya sebagai kadet dan kemudian sebagai pegawai tentera di India amat sukar untuk kami hadapi.

“Namun, kami sempat melawatnya di Akademi Tentera India di Dehradun dan bertemu keluarga yang menjaga serta menerima dia dengan penuh kasih sayang…” titah Seri Paduka Baginda.

Menutup nukilan dengan penuh kelembutan dan doa, Raja Zarith Sofiah menitipkan harapan kepada Allah agar putera sulungnya terus diberkati, dikurniakan kebijaksanaan dan terus berbakti kepada negeri Johor.

“Kami memohon kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala agar membimbingnya dan mengurniakan kepadanya banyak tahun yang bahagia bersama isteri dan anak-anaknya, dan semoga dia dikurniakan kebijaksanaan untuk mengasihi dan menjaga rakyat Johor,” titah Seri Paduka Baginda.

Anda Mungkin Berminat