PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, tampil menyertai perarakan anjuran Majlis Peguam Malaysia sebagai simbol solidariti mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara yang kini didakwa semakin terancam.
“Saya menyertai perarakan anjuran Majlis Peguam Malaysia bagi mempertahankan kebebasan badan kehakiman,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, badan kehakiman yang bebas merupakan teras kepada sistem demokrasi yang sihat terutama dalam mengimbangi kuasa eksekutif dan legislatif secara adil.
Nurul Izzah menekankan pentingnya tiga cabang pemerintahan iaitu kerajaan, eksekutif dan legislatif saling melengkapi dan badan kehakiman bertindak sebagai pengimbang kuasa.
“Kehakiman yang bebas adalah benteng utama terhadap penyalahgunaan kuasa oleh eksekutif, kabinet dan kerajaan secara keseluruhan.
“Begitu juga, keputusan mahkamah berperanan menegur Parlimen apabila undang-undang yang menindas dan tidak berperlembagaan digubal,” katanya.
Beliau turut berkata, badan kehakiman perlu kekal bebas sepenuhnya daripada sebarang campur tangan, sama ada dari pihak dalam mahupun luar.
“Perkara paling asas dalam sistem kehakiman yang bebas adalah ketiadaan campur tangan daripada mana-mana pihak, sama ada dalaman mahupun luaran.
“Oleh itu, individu yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak bukan sahaja perlu berwibawa, malah mesti mempunyai integriti moral yang tertinggi untuk menjalankan amanah tersebut,” ujar beliau.
Pada masa yang sama, beliau turut menyeru agar siasatan segera dilakukan berikutan dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) serta laporan polis berhubung isu tersebut.
“Ketika ini, dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman semakin kukuh…
“Adalah penting agar dakwaan ini disiasat demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman negara,” jelas beliau.
Beliau mengusulkan agar siasatan dilakukan melalui Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan dengan penubuhan tribunal bebas yang dianggotai sekurang-kurangnya lima orang hakim kanan.
“Langkah ini amat penting bagi memelihara kepercayaan terhadap sistem kita,” katanya.
Mengimbas kembali episod kelam seperti pemecatan Tun Salleh Abbas dan skandal VK Lingam, Nurul Izzah menyifatkan ia sebagai pencetus tuntutan pembaharuan sistem kehakiman negara.
“Penyalahgunaan kuasa yang berlaku sebelum ini… telah membangkitkan tekad untuk memastikan kebebasan badan kehakiman terus dipertahankan hingga hari ini,” katanya.
Beliau menyeru agar struktur kehakiman negara ditambah baik demi menjamin ketelusan dan wibawa yang lebih kukuh.