PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mengingatkan bahawa pengawasan terhadap institusi pembanteras rasuah mesti dilakukan secara telus dan terbuka, bukan sekadar di belakang tabir.
Beliau menekankan bahawa walaupun Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah sudah wujud, fungsi badan itu hanyalah bersifat nasihat dan bukannya pemantauan bebas.
“Jawatankuasa ini memang wujud. Namun, penting untuk memahami peranan dan batas fungsinya.
“Jawatankuasa ini bersifat nasihat, bukan badan bebas yang menjalankan fungsi pemantauan,” katanya.
Nurul Izzah berkata, tugas jawatankuasa tersebut termasuk memberi nasihat kepada Perdana Menteri mengenai isu rasuah, meneliti laporan tahunan SPRM, menyemak ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah serta meminta penjelasan berhubung laporan dan ulasan tersebut.
Namun, beliau berkata, jawatankuasa itu tidak membentangkan laporan di Parlimen, tiada perbahasan terbuka serta tidak mempunyai kuasa untuk memanggil saksi atau membuat pendedahan.
“Pengawasan yang berkesan bukan sekadar menasihati tetapi mesti berlaku secara terbuka, di mana kuasa boleh dipersoalkan, keputusan boleh diteliti dan institusi dipertanggungjawabkan,” katanya.
Nurul Izzah turut mengingatkan bahawa setiap kegagalan integriti boleh menjejaskan usaha besar membanteras rasuah, sambil menekankan kepentingan memastikan aliran berbilion ringgit hasil rampasan daripada jerung-jerung perasuah dipantau dengan jelas dan tidak terkandas separuh jalan.








