PETALING JAYA: Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj menggesa kerajaan agar mengambil tindakan tegas terhadap syarikat bas ekspres yang didapati lalai dan mempunyai rekod keselamatan yang buruk.
Beliau berkata, nyawa rakyat tidak boleh menjadi taruhan akibat kecuaian pengendali dan menyarankan pembatalan lesen operasi mereka secara kekal.
Dalam satu kenyataan hari ini, Yuneswaran turut menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat, Perak, awal pagi tadi yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Kejadian seperti ini tidak seharusnya berulang, lebih-lebih lagi apabila nyawa rakyat menjadi taruhan akibat kecuaian atau kegagalan pihak pengendali mematuhi aspek keselamatan,” katanya.
Beliau menekankan bahawa keuntungan komersial tidak boleh mengatasi keselamatan penumpang dan menggesa kerajaan memperketat penguatkuasaan terhadap syarikat bas ekspres.
“Pendekatan penguatkuasaan yang lebih keras harus dilaksanakan bagi memastikan pengendali bas ekspres benar-benar mematuhi garis panduan keselamatan, penyelenggaraan kenderaan dan waktu rehat pemandu,” ujarnya.
Bagi mengurangkan risiko kemalangan, Yuneswaran mencadangkan agar kerajaan mengehadkan perkhidmatan bas ekspres pada waktu malam khususnya antara 12 tengah malam hingga 6 pagi, di mana waktu yang sering dikaitkan dengan keletihan pemandu.
Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan meningkatkan pelaburan dalam sistem rel negara sebagai alternatif lebih selamat bagi perjalanan antara bandar.
“Kita tidak boleh terus membiarkan rakyat Malaysia membayar harga yang mahal untuk nyawa mereka disebabkan kerana kekurangan penguatkuasaan atau ketidakcukupan pilihan pengangkutan awam pada waktu malam,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperkasa perkhidmatan ETS dan tren tidur untuk perjalanan jarak jauh antara negeri dengan menawarkan pilihan lebih selamat dan selesa bagi rakyat.
“Keselamatan rakyat adalah tanggungjawab bersama dan kerajaan harus mendahului langkah dengan tindakan berani dan berprinsip,” katanya.