Oleh : Wahida Ramlan
PARIS: Penerjun muda negara, Bertrand Rhodict Lises tidak berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir selepas terkandas di pusingan kelayakan 10 meter platform individu lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, petang tadi.
Perjuangan penerjun berusia 19 tahun itu dalam mencipta kejutan pada penampilan sulungnya di temasya itu, terhenti selepas mengakhiri perlawanan di kedudukan ke-25 daripada 26 peserta yang bertanding dengan mencatatkan 313.70 mata setelah terjunan akhirnya di Pusat Akuatik Paris itu.
Pada awal dua terjunan, Bertrand bermula positif apabila berjaya mengumpul 66 mata dan 60.80 mata untuk menduduki tangga ke-16 selepas dua terjunan.
Bagaimanapun, prestasi Bertrand mula merosot apabila sekadar mengutip 49.50 mata diterjunan ketiga, 34 mata di terjunan keempat dan 37.80 mata di terjunan kelima sekali gus terkeluar dari kelompok 18 terbaik.
Atlet kelahiran Sarawak itu cuba bangkit dengan memperkemaskan terjunan sekali gus, berjaya mengutip 65.60 mata namun, jurang mata yang jauh tidak mencukupi untuk menempatkan beliau di dalam kelompok 18 terbaik bagi melayakkan diri ke separuh akhir.
Berdasarkan syarat kelayakan, hanya 18 penerjun terbaik sahaja yang layak ke pusingan separuh akhir.
Sebagai rekod, terjunan tersebut merupakan penampilan pertama atlet berusia 19 tahun itu di pentas Olimpik selepas menjadi atlet pertama negara yang mengesahkan tiket ke Paris selepas menduduki tempat ke-10 ketika separuh akhir Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun pada Julai tahun lalu.
Baca juga: