Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meneruskan hari kedua operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) berhubung insiden pelanggaran kapal MT Hafnia Nile dan MT Ceres 1 di perairan Tanjung Sedili, Sandakan, Sabah.
Menurut Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana Maritim, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Mad Yunus, operasi ini melibatkan kapal peronda luar pesisir (OPV) KM Pekan dan KM Mulia.
“Kapal MT Hafnia Nile berdaftar di Singapura dilaporkan berlanggar dengan MT Ceres 1 yang berdaftar di Republik Demokratik São Tomé dan Príncipe, menyebabkan kebakaran pada MT Hafnia Nile di 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau dalam Perairan Wilayah Malaysia.
“Kapal Tentera Laut Singapura RSS Supreme bertindak segera menyelamatkan 22 orang kru MT Hafnia Nile dan membawa mereka ke Singapura untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Operasi CARILAMAT bagi kru kapal MT Ceres 1 diteruskan meskipun kapal tersebut telah meninggalkan kawasan perlanggaran dengan menutup Sistem Pengenalan Automatik (AIS).
Maritim Malaysia kini dalam usaha menjejaki kapal berkenaan menggunakan pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP.
Selain menggerakkan aset pencarian, Maritim Malaysia juga mengatur Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) untuk bersedia menyelamatkan mangsa yang mungkin masih berada di atas MT Ceres 1.
Zin Azman turut memaklumkan keadaan sebenar kapal dan kru MT Ceres 1 masih belum dapat dipastikan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan menjalankan pemantauan tumpahan minyak di lokasi insiden.
Dalam pada itu, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga bersiap sedia memberikan bantuan jika diperlukan.
Sebelum ini, Maritim Negeri Johor menerusi MRSC Johor Bahru telah mengkoordinasikan operasi CARILAMAT dengan penglibatan Kapal Maritim (KM) Niah, Bot PERKASA 29, Bot PETIR 12 dari Maritim Malaysia, KD GEMPITA dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bot ronda PA 9 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, melibatkan lebih 100 anggota.
Baca juga: