BANTING: Seorang operator warga asing maut selepas dihempap platform yang runtuh dari tingkat lapan sebuah kilang sarung tangan di Kawasan Perindustrian Kampung Olak Lempit di sini, semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, mangsa ketika itu sedang menjalankan kerja pemotongan gulungan plat aluminium sebelum platform yang digunakan tiba-tiba runtuh.
“Sehingga menyebabkan dia (mangsa) jatuh dari ketinggian 32 meter ke tingkat bawah.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Susulan insiden itu, JKKP mengeluarkan Surat Larangan Kacau Ganggu serta dua notis larangan terhadap majikan atas kegagalan menyediakan Prosedur Kerja Selamat dan penilaian HIRARC.
JKKP berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan.
“Kemalangan seperti ini boleh dielakkan sekiranya kawalan risiko dilaksanakan dengan berkesan dan mematuhi garis panduan ditetapkan,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian sedang giat dijalankan dengan fokus kepada ketahanan struktur, pelaksanaan SOP dan keperluan penambahbaikan segera dalam persekitaran kerja industri.