CAMERON HIGHLANDS: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melancarkan Operasi Penguatkuasaan Mega ‘Ops Gempur’ secara serentak di beberapa lokasi strategik termasuk Tanah Rata, Brinchang, Ringlet, Kea Farm, Tringkap dan Taman Corina.
Operasi turut diperluas sehingga ke kawasan Lojing, Kelantan.
Operasi yang bermula pukul 11 pagi Khamis itu melibatkan kekuatan 547 pegawai imigresen pelbagai pangkat dari seluruh negara, dibahagikan kepada empat zon utama.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 1,886 individu telah diperiksa, terdiri daripada 1,447 warga asing dan 439 warga tempatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati 468 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Daripada jumlah ini, seramai 468 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen meliputi warganegara Bangladesh, Myanmar, Indonesia, Pakistan, Nepal, India dan China,” katanya.
Menurut beliau, ketika serbuan dijalankan, ada warga asing yang cuba melarikan diri dan bersembunyi di lokasi tidak disangka termasuk di dalam tangki air simpanan.
Malah katanya, terdapat juga PATI yang cuba menyamar sebagai pelancong bagi mengaburi pihak berkuasa.
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, menggunakan kad tidak diiktiraf serta pelbagai kesalahan lain di bawah Akta Imigresen.
Zakaria berkata, kesemua yang ditahan akan ditempatkan di Depot Imigresen Ajil, Kemayan, Langkap, Beranang, Semenyih dan KLIA untuk siasatan lanjut.
JIM menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, termasuk majikan yang menggaji dan melindungi PATI.
Undang-undang yang terlibat merangkumi Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Turut hadir menyaksikan operasi besar-besaran itu ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Basri Othman serta beberapa pengarah bahagian dari Ibu Pejabat JIM dan Pengarah Imigresen Negeri.








