MUSIM cuti Hari Raya Aidiladha bukan sahaja menyaksikan lebuh raya sesak dengan perantau pulang ke kampung, malah turut mencetuskan gelombang kerinduan dalam kalangan warga kota terhadap peniaga makanan dari Kelantan.
Perkara itu menjadi perhatian selepas satu hantaran di Threads tular apabila seorang pengguna berseloroh meminta peniaga Kelantan kembali ke ibu negara secepat mungkin.
“Orang Kelantan baliklah KL semula. Saya lapar,” tulis pengguna berkenaan.
Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi lucu daripada netizen yang mengakui banyak kedai makan terutama restoran tomyam, kedai nasi campur dan gerai makanan yang diusahakan peniaga Kelantan ditutup sementara sempena Aidiladha.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mengakui mula merasai ‘kehilangan’ apabila kedai makan kegemaran mereka tidak beroperasi sepanjang musim perayaan.
Ada yang berseloroh mendakwa mereka terpaksa memikirkan semula lokasi makan tengah hari apabila kebanyakan kedai yang sering dikunjungi ditutup serentak.
Seorang pengguna berkata, ibu kota terasa sunyi apabila restoran tomyam dan kedai nasi campur milik peniaga Kelantan mengambil cuti panjang sempena Aidiladha.
Seorang lagi pengguna pula mendakwa tahap kecemasan sudah meningkat kerana tomyam kegemarannya masih belum kembali beroperasi.
Tidak kurang juga yang menganggap peniaga Kelantan sebenarnya antara ‘nadi’ industri makanan di Kuala Lumpur kerana kehadiran mereka yang begitu meluas dalam sektor berkenaan.
Antara komen mencuit hati netizen:
“Saya dah pusing tiga kedai tomyam. Semua tutup. Baru saya sedar betapa pentingnya orang Kelantan dalam hidup saya.”
“KL nampak maju, tapi bila orang Kelantan balik kampung, separuh rakyat bandar terus tak tahu nak makan dekat mana.”
“Rupanya selama ini ekonomi perut saya disokong sepenuhnya oleh peniaga Kelantan.”
Hantaran tersebut terus menerima perhatian netizen dengan ramai menganggap ia sekadar gurauan, namun dalam masa sama menggambarkan betapa besar peranan peniaga Kelantan dalam memenuhi selera warga kota setiap hari.
Baca juga:








