PAC dedah MARA Inc beli hartanah luar negara tanpa kelulusan MOF

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati MARA Inc membeli hartanah di London dan Melbourne tanpa kebenaran Kementerian Kewangan (MOF) dengan nilai melebihi harga pasaran.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan, pembelian hartanah tersebut termasuk Beaumont House di London serta Dudley International House, 51 Queen Street dan 333 Exhibition Street di Melbourne dilakukan pada tahun 2013 dan 2014.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah merayu dan membawa perkara tersebut dibawa ke Majlis Ekonomi dan telah mendapat kelulusan pada tahun 2013.

“Kes pembelian hartanah terlebih nilai di Melbourne sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kini dalam perbicaraan mahkamah.

Bagi mengelakkan skandal sama berulang, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah mengesyorkan KKDW, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Mara Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) dan MARA Inc memastikan cadangan pelaburan dalam dan luar negara seperti hartanah mematuhi dasar terkini kerajaan dengan memberi keutamaan dalam pelaburan domestik.

“Cadangan tersebut perlu mendapat kelulusan MOF terlebih dahulu dan keputusan MOF perlu dipatuhi bagi mengelakkan skandal pembelian hartanah tidak berulang,” katanya.

Dalam aporan itu, PAC juga mengesyorkan bahawa semua projek pembangunan harus diselesaikan mengikut masa, kos, kualiti dan peruntukan yang ditetapkan agar dapat menjana keuntungan bersih yang tinggi.

“MARA Corp perlu tegas dalam mengawal selia semua anak syarikatnya supaya dapat menjana keuntungan dan mampu membayar balik hutang dan membayar dividen selaras dengan matlamat penubuhan,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat