Oleh: Mohd Najib Hashim
ULASAN | Sindiran sesetengah pihak tentang usaha dan pendirian Malaysia terhadap Gaza dan Palestin tidak mengubah prinsip seorang manusia bernama Anwar Ibrahim.
Biarpun masa berubah, pemimpin silih berganti, dan geopolitik dunia makin kompleks, satu perkara tetap utuh dalam diri Perdana Menteri Malaysia kini ialah cinta dan perjuangan terhadap Palestin.
Dari zaman beliau dipenjara kerana prinsip, hingga kini menjadi Perdana Menteri Malaysia, pendirian itu tidak pernah luntur walau sedetik.
‘Real’nya, Anwar bukan sekadar pemimpin politik, beliau adalah anak gerakan Islam yang diasuh dengan semangat keadilan sejagat.
Sejak awal tahun 1970-an, ketika memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), beliau menjadikan isu Palestin sebagai pusat solidariti dunia Islam dan kemanusiaan antarabangsa.
Melalui ceramah, kempen kesedaran, dan pengumpulan dana rakyat, Anwar antara suara paling awal di rantau ini yang mengangkat Palestin sebagai isu moral dan kemanusiaan, bukan semata-mata konflik agama.
“Kezaliman di Palestin adalah ujian terhadap nurani dunia.” itulah kata-kata yang sering diulangnya, dari dewan kuliah ke pentas antarabangsa.
Hubungan Anwar dengan Palestin bukan hubungan politik biasa. Ia bersifat peribadi dan penuh penghormatan.
Ketika menjawat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Anwar sering menjadi jambatan diplomasi antara dunia Islam dan kepimpinan Palestin.
Hubungan akrabnya dengan Almarhum Yasser Arafat, pemimpin PLO, telah membuahkan penghormatan istimewa, Arafat pernah mengisytiharkan Anwar sebagai “anak Palestin”, simbol kasih sayang dan pengiktirafan terhadap perjuangannya yang konsisten membela nasib rakyat Palestin.
Gelaran itu bukan sekadar retorik. Ia menggambarkan kepercayaan dunia Islam terhadap keteguhan prinsip Anwar, seorang pemimpin yang tidak pernah membiarkan isu Palestin tenggelam di tengah arus politik antarabangsa.
Walau diuji dengan pemenjaraan, pengasingan dan fitnah, Anwar tidak pernah membuang semangat perjuangan itu.
Malah, di balik jeriji besi, beliau terus menulis, berdoa dan menyampaikan mesej solidariti untuk Palestin.
Kini, setelah menduduki tampuk kepimpinan negara, Anwar menerjemahkan idealisme itu dalam bentuk tindakan diplomatik dan dasar luar.
Melalui inisiatif seperti SUMUD Nusantara, Malaysia di bawah kepimpinannya menggerakkan usaha pembebasan tahanan kemanusiaan Gaza, bekerjasama dengan negara-negara sahabat seperti Indonesia dan Turkiye.
Bahkan, pemimpin dunia seperti Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, turut memuji Malaysia yang berani menyuarakan kebenaran di tengah tekanan kuasa besar, menyifatkan Malaysia “berdiri di sisi sejarah yang benar.”

MADANI Keberanian Menegak Keadilan
Bagi Anwar, isu Palestin bukan semata-mata soal agama, tetapi lambang perjuangan menentang kezaliman global.
Beliau sering mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah negara bukan hanya diukur dari segi ekonomi atau ketenteraan, tetapi berdasarkan keberanian menegakkan keadilan.
Sebagaimana pesan Ibnu Khaldun yang sering beliau petik:
“Kezaliman menghancurkan tamadun, dan keadilan menjadi asas kekuatan negara.”
Inilah falsafah yang menjadi roh kepada dasar luar Malaysia MADANI, berpaksikan moral, nilai dan kemanusiaan sejagat.
Dari sel sempit ke pejabat Perdana Menteri, dari bisikan doa ke suara lantang di PBB, satu hakikat tidak berubah: Anwar tetap pembela Palestin.
Zaman boleh berganti, kuasa boleh datang dan pergi tetapi hati seorang pejuang tidak bisa dibeli.
Seperti dulu, kini dan selamanya, Anwar berdiri bersama Palestin.
Kerana baginya, membela Palestin bukan pilihan politik, ia adalah tuntutan nurani dan amanah Tuhan.
***Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan








