Panda Gergasi Chen Xing & Xiao Yue Selamat Tiba di Malaysia

KUALA LUMPUR: Pasangan panda gergasi dari China, Chen Xing (jantan) dan Xiao Yue (betina), selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8.30 Selasa, malam.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) dalam kenyataan berkata, kedua-dua haiwan itu akan dibawa ke Pusat Konservasi Giant Panda di Zoo Negara, yang kini siap dinaik taraf bagi menyediakan habitat lebih kondusif dan selamat.

Menurut NRES, Chen Xing dan Xiao Yue akan melalui tempoh kuarantin wajib selama sebulan di bawah pemantauan ketat doktor haiwan serta penjaga berpengalaman sebelum dibuka untuk tontonan umum.

“Ketibaan panda gergasi ini menjadi simbol integriti dan persahabatan berterusan antara Malaysia dan China.

“Malaysia menerusi NRES meneruskan Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda dengan China, susulan pemeteraian perjanjian baharu pada 16 April lalu sempena Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Perjanjian itu membolehkan Malaysia menerima sepasang panda gergasi yang lebih muda untuk tempoh 10 tahun, bermula 2025 hingga 2035.

Sebelum ini, Malaysia menerima pasangan panda Fu Wa dan Feng Yi pada 2012 sebelum kedua-duanya dihantar pulang ke China pada 18 Mei 2025.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat