Pandikar Amin, Isteri Bertanding Dua Kerusi DUN Sabah di Bawah Tiket USNO–GRS

KOTA KINABALU – Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dan isterinya Puan Sri Diana Diego @ Yusrina Sufiana, masing-masing diumumkan sebagai calon bagi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum DUN Sabah ke-17.

Pandikar akan bertanding di DUN Pintasan, manakala isterinya dicalonkan di DUN Sekong—dua kerusi yang diagihkan kepada USNO dalam pembahagian kerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Selepas pengumuman calon GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini, Pandikar ditanya mengenai peluang kemenangannya dan beliau tampil penuh keyakinan.

“Komen saya ialah, saya akan menang. You wanna bet with me? Saya yakin… saya pastikan kemenangan ini. Kalau kamu tidak yakin, kamu mahu bertaruh dengan saya? Ada sesiapa mahu bertaruh?” katanya berseloroh kepada media.

Imbas prestasi PRU DUN 2020

Pandikar turut mengingatkan rekod pencapaiannya ketika bertanding di bawah tiket USNO pada PRU DUN Sabah 2020,ketika itu tanpa sokongan mana-mana gabungan besar.

“Saya tersepit antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), tetapi saya masih dapat 2,660 undi dan kalah hanya 84 undi sahaja. Sekarang saya calon kerajaan, saya yakin saya menangkan kerusi ini untuk GRS,” katanya.

Boikot dan sabotaj adalah lumrah – Pandikar

Mengulas kemungkinan berlaku boikot atau sabotaj dalam kalangan penyokong, beliau berkata perkara itu bukan sesuatu yang baru dalam mana-mana pilihan raya.

“Dalam mana-mana pilihan raya pun memang ada sabotaj. Itu terpulang kepada calon masing-masing. Bukan kami saja, GRS juga akan berdepan saingan parti-parti lain. Jadi setiap parti perlu pastikan calon mereka menang,” katanya.

Reaksi terhadap pencalonan isteri

Ditanya sama ada pengundi akan menerima dan menyokong pencalonan isterinya di Sekong, Pandikar hanya menjawab ringkas:

“Kita akan lihat nanti.”

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa GRS telah memilih calon berdasarkan kemampuan untuk menang.

“GRS memilih calon yang mempunyai peluang untuk menang. Semua sudah melalui tapisan. USNO diberi dua kawasan iaitu DUN Pintasan dan DUN Sekong. Kamu mahu tanya orang yang sarat dengan ilmu politik?” katanya sambil ketawa kecil.

Anda Mungkin Berminat