Paralimpik Paris 2024: Balingan padu Noor Askuzaimey janjikan pingat acara Boccia

Oleh: Farah Faizal

PARIS: Pemain boccia negara, Noor Askuzaimey Mat Salim kian hampiri pingat pada Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas layak ke separuh akhir kategori BC4 (cacat fizikal) individu wanita di sini pada Ahad.

Pemenang pingat emas Sukan Para Asia Hangzhou 2022 itu, beraksi di South Paris Arena ketika menewaskan pemain Greece Chrisy Morfi Metzou 7-0 pada pukul 8.45 malam waktu Paris.

Noor Askuzaimey bakal menentang Cheung Yuen untuk merebut tempat ke ‘final’ selepas pemain Hong Kong itu mengesahkan tempatnya ke separuh akhir dengan kemenangan 4-1 ke atas pemain Brazil, Laissa Polyana Teixeira.

Noor Askuzaimey memulakan kempen Sukan Paralimpik sulungnya dengan memenangi ketiga-tiga perlawanan untuk menduduki tempat teratas Kumpulan B.

Pemain berusia 38 tahun itu mendapat bola dengan menewaskan pemain Mesir, Hanaa Elfar 11-3 sebelum mengenepikan Alison Levine (Kanada) 3-2 dan Nataliia Konenko (Ukraine) 8-6.

Anda Mungkin Berminat