Paras Air Sungai Di Beberapa Negeri Capai Tahap Waspada, Amaran Dan Bahaya

PETALING JAYA: Orang ramai di seluruh negara diingatkan supaya berwaspada susulan paras air sungai di beberapa negeri dilaporkan meningkat ke tahap Waspada, Amaran dan Bahaya berdasarkan pemantauan terkini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Dalam satu hantaran di Facebook, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan masyarakat agar sentiasa peka terhadap keadaan sungai di kawasan masing‑masing, terutama ketika cuaca tidak menentu.

“Saya ingin mengingatkan semua untuk sentiasa berwaspada dengan paras air sungai di kawasan masing-masing,” katanya.

Menurut laporan JPS, sungai di negeri Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu dan Kelantan menunjukkan peningkatan paras air yang memerlukan perhatian segera.

Menurut beliau, orang ramai digalakkan menyemak status semasa melalui portal Public Info Banjir di publicinfobanjir.water.gov.my.

“Sekiranya berada berhampiran sungai, elakkan kawasan berisiko, terutama ketika hujan berterusan.

“Sentiasa peka dengan perkembangan cuaca, jauhi arus deras dan patuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau turut menzahirkan doa agar urusan masyarakat dipermudahkan sepanjang tempoh cuaca tidak menentu ini.

“Semoga kita semua dilindungi dan dipermudahkan urusan,” katanya.

JPS sebelum ini mengingatkan bahawa paras air sungai boleh berubah dengan cepat ketika hujan lebat dan orang ramai diminta mengutamakan keselamatan serta mengelakkan aktiviti berhampiran sungai atau kawasan rendah yang mudah dinaiki air.

Anda Mungkin Berminat